Home » Tindakan pemimpin BERSATU Sabah keluar parti tidak gugat kedudukan wakil rakyatnya – Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung
Berita Tempatan Politik

Tindakan pemimpin BERSATU Sabah keluar parti tidak gugat kedudukan wakil rakyatnya – Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung

Lee yang juga Ketua Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UMS berkata, GRS merupakan sebuah entiti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang bermakna mempunyai personaliti disisi undang-undang.

KOTA KINABALU: Tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, mengumumkan keluar daripada parti itu semalam, tidak menggugat kedudukan mereka sebagai wakil rakyat di negeri ini.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) , Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-14 (PRN14) yang lalu atas tiket Perikatan Nasional (PN) namun Dewan Undangan Negeri Sabah belum meluluskan Rang Undang Undang berkaitan Anti Lompat Parti, begitu juga Ahli Parlimen, mereka tidak bertanding atas tiket Perikatan Nasional sebaliknya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Bagi parlimen mereka bertanding atas tiket GRS pada PRU15 lepas. Bukan atas logo Bersatu mahupun Perikatan Nasional,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Lee yang juga Ketua Program Komunikasi
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UMS berkata, GRS merupakan sebuah entiti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang bermakna mempunyai personaliti disisi undang-undang.

Katanya, “Parti politik” dalam Fasal 49A. (1) dalam kes ini merujuk kepada GRS. Keempat-empat ahli parlimen tersebut terpilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota GRS apatah lagi keanggotaan mereka masih GRS.

“Logo GRS mempunyai identiti sah dari segi perundangan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Maknanya, melainkan mereka keluar daripada GRS yakni logo yang digunapakai untuk bertanding pada PRU15 barulah akan ada implikasi ke atas status mereka sebagai ahli parlimen di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) (2022) telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September 2022,” jelasnya.

Lee turut menjelaskan, meskipun tarikh kuatkuasa Akta A1663 pada 5 Oktober 2022 mengaktifkan pindaan bagi Seksyen 7A Jadual Ke-8, Perkara 48(6), Perkara 160 serta dua fasal baharu iaitu Perkara 10 (3)(A) dan Perkara 49A, pemakaian Akta A1663 di peringkat negeri atau wilayah adalah tertakluk kepada perkenan Tuan Yang Terutama Sabah (perkenan Sultan/ Raja bagi negeri-negeri yang mempunyai Sultan).

“Rang Undang-undang (RUU) ini belum di bawa ke DUN Sabah lagi apatah diluluskan untuk dikuatkuasakan di Sabah. Justeru itu, akta anti-lompat parti belum tergunapakai dalam konteks Sabah,” tambah beliau.

Dalam pada itu, mengenai lantikan Ketua Menteri, Lee berkata, ia adalah selepas Yang Dipertua Negeri berpuas hati apabila seseorang calon itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Ini menyentuh keluhuran Perlembagaan Negeri Sabah khasnya Artikel 10(4) dan Artikel 6(3).

“Dalam kes ini Datuk Seri Panglima Hajiji Noor masih merupakan GRS dan mendapat sokongan penuh daripada kerjasama GRS-BN Sabah. Jadi tidak timbul isu berkenaan kedudukan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah mahupun pertukaran kerajaan Sabah,” katanya.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment