Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor stabil dan terus fokus kepada hala tuju pembangunan negeri dan rakyat.
“Janganlah baling batu sembunyi tangan, suka-suka mulakan fitnah, memburukkan, membusukkan dan bising-bising tentang kestabilan negeri, jika sebenarnya niat dan motif dendam kesumat itu tidak berhasil.
“Jangan gugat kestabilan dan keutuhan politik dalam negeri kita dengan kenyataan-kenyataan yang menuduh dan memburukkan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),”katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, Kerajaan Negeri Sabah tidak tergugat seperti mana yang dikatakan oleh pihak pembangkang.
“Kita tidak terjejas dan tergugat, kita tidak ada niat dan tidak terlintas untuk menjahanamkan segala usaha pembangunan dan kemajuan untuk Sabah dan rakyat.
“Sudah-sudahlah tu, jika tidak puas hati, tidak dapat apa yang dirancang dan dihajati, jangan mula pusing cerita.
“Itu hasad dengki, itu dendam dan itu masalah hati,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa Kerajaan Negeri Sabah tergugat dan terjejas dengan tindakan pemimpin-pemimpin GRS yang keluar parti.
Fairuz berkata; “Kita mahu kerja untuk rakyat, kita mahu suara rakyat diangkat dan dibawa baik dari pihak ADUN, mahupun Ahli Parlimen.
“Kita tidak fikir dan tidak terlintas untuk bawa kepentingan peribadi, hingga menggugat keutuhan serta kestabilan Sabah.
“Kepada beliau, cukuplah tu, rehatlah, mari kita semua sama-sama kerja untuk Sabah, untuk rakyat, untuk negeri.
“Tidak perlu bergaduh, tidak perlu bersengketa, tidak perlu bermadah jika hanya bertujuan untuk buat rakyat kita kusut,” ujar beliau lagi.
— EDITOR
Add Comment