UMNO adalah parti nasionalis Melayu ditubuhkan untuk memperjuangkan kelestarian orang Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan sejak penubuhannya pada Mei 1946.
Ia termasuk menggerakkan usaha memerdekakan Tanah Melayu, sekali gus memartabatkan bangsa Melayu sebagai tulang belakang pembangunan negara dan pentakrif negara bangsa.
Tidak sesiapa boleh menafikan perjuangan UMNO selama 75 tahun dalam meningkatkan kelestarian bangsa Melayu, Bumiputera dan perpaduan kaum di Malaysia.
Pada ketika ini, UMNO adalah parti Melayu terbesar di Malaysia mempunyai lebih 3.3 juta keahlian dengan 191 bahagian serta 22,274 cawangan di seluruh negara.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10), UMNO menguasai hampir keseluruhan negeri di selatan, utara, tengah dan barat Semenanjung. Di Sabah, UMNO mendapat tempat dan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sejak 20 tahun lalu.
Kemunculan Perikatan Nasional (PN) dengan parti utamanya BERSATU dan PAS menghadirkan suatu gabungan politik pemberi saingan sengit kepada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14.
Pada PRU15, tiada sama menyangka PAS mampu menguasai 49 kerusi Parlimen, sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43 peratus berbanding UMNO (23 peratus) dan PKR (11 peratus).
UMNO hanya memenangi 26 kerusi dan kalah di semua kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Inilah rekod terburuk UMNO sejak PRU pertama pada 1955.
Namun, kuasa politik turut menghadapi pasang surutnya. UMNO bermula dengan parti nasionalis memperjuangkan nasib dan masa hadapan orang Melayu tetapi diresapi dengan elemen ‘neokapitalis’ bermula pada 1980-an.
Bermula sebagai parti rakyat, UMNO berkembang menjadi parti elit, ‘warlord’ dan perniagaan. Dasar penswastaan, persyarikatan dan pengkorporatan diperkenal pada awal 1980-an membuka pintu dan peluang kepada parti dan ahli terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam mengambil kesempatan terhadap dasar yang ada.
Kesempatan ini diambil UMNO sebagai parti pemerintah utama dalam Barisan Nasional (BN). Justeru, dalam politik untuk meraih sokongan dan dukungan, seseorang ahli politik itu memerlukan ‘sesuatu’ untuk mengikat kesetiaan pengikutnya.
Maka, tidak hairanlah ‘politik wang’ menjadi modus operandi penting dalam membeli pengaruh, kuasa dan pengikut dalam parti termasuk dalam pilihan raya.
Apabila gejala ‘politik wang’ berleluasa, perjuangan dan memartabatkan UMNO terhadap survival bangsa Melayu serta Bumiputera semakin menipis.
Bukan hanya gejala politik wang membarah dalam UMNO, banyak faktor lain turut menyebabkan defisit kepercayaan rakyat terhadap UMNO antaranya munculnya ‘warlord’, manipulasi dan campur tangan politik dalam tadbir urus kerajaan.
Wujud jurang pemimpin, pengikut, rakyat
Selain itu, terdapat jurang antara pengikut dan pemimpin, terpisah daripada rakyat, malapnya budaya demokratik, kepercayaan melampau terhadap politik pembangunan, sandaran kuat terhadap sentimen agama dan kaum serta memandang rendah kemampuan rakyat melakukan perubahan.
UMNO mulai gagal mengubah pemikiran dan jati diri orang Melayu menjadi dinamik, progresif dan berdaya tahan di bumi sendiri.
Walaupun pelbagai pendekatan digunakan bagi mengangkat martabat orang Melayu dalam pelbagai aspek pembangunan, rekod membuktikan orang Melayu masih tidak mampu menandingi kaum lain dalam banyak hal.
Sejak 65 tahun lalu, orang Melayu masih mengharapkan bantuan, subsidi dan pertolongan kerajaan bagi kelangsungan hidup khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah dan B40.
Tentu ada yang tidak kena dalam perancangan dan pelaksanaan amalan ekonomi serta kesediaan kerajaan meningkatkan kualiti hidup mereka. Justeru, tidak hairanlah, sokongan orang Melayu bandar dan berpendidikan terhadap UMNO merosot.
Ditambah pula dunia tanpa sempadan hari ini membuka ruang penerobosan maklumat secara terbuka dan dengan mudah pula dapat diakses dengan pantas.
Kini, orang Melayu mula kritis dengan apa yang mereka dengar dan lihat, lebih-lebih lagi berkaitan hal menyangkut kepentingan mereka. Justeru, berdasarkan senario semasa kemerosotan sokongan terhadap UMNO, apakah mungkin UMNO mampu pulih daripada ‘kecederaan teruknya’ pada PRU15 ini pada masa hadapan?
Sebenarnya, UMNO kini berada di persimpangan. Desakan kumpulan antikepemimpinan tertinggi terus menekan dari dalam. Beberapa nama besar dalam kepemimpinan UMNO terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah, memberi imej sangat negatif UMNO.
Setakat ini, tiada tanda kepemimpinan tertinggi akan meletak jawatan, sungguhpun desakan terhadapnya begitu kuat daripada pelbagai sayap UMNO.
UMNO sedang menghadapi defisit kepercayaan yang amat teruk dalam sejarah politik negara dalam kalangan orang Melayu ketika wadah politik Melayu terpecah akibat kemunculan banyak parti berteraskan Melayu.
UMNO terpaksa bersaing dengan lawannya untuk mengembalikan defisit kepercayaan orang Melayu dalam situasi UMNO yang sedang sakit. Amat sukar tetapi tidak mustahil. Ia memerlukan masa, keikhlasan dan tekad politik yang tinggi untuk kembali ke pangkal jalan.
Di satu pihak lain, PN sedang membina reputasinya sebagai pengganti UMNO untuk orang Melayu ketika ini menerusi agenda Melayu-Islam baharu dengan slogan stabil dan bersih memikat orang Melayu.
Naratif sentimen agama dan bangsa berjaya dibawa BERSATU dan PAS secara progresif menerusi media sosial. PN dilihat mempunyai agenda lebih besar iaitu menggantikan UMNO sebagai parti utama kepada orang Melayu. Ia dapat dilihat dengan kejayaan PN menguasai banyak kerusi Parlimen di negeri Jalur Melayu
.
Justeru, jika UMNO tidak melakukan rekayasa daripada luar dan dalam dengan segera dan komprehensif, UMNO akan terus tertinggal dan akhirnya mungkin berkubur seperti hipotesis Bridget Welsh dan rakan menerusi buku The End of UMNO: Essays on Malaysia’s Former Dominant Party’.
Perhimpunan Agung UMNO pada 11 hingga 14 Januari tahun depan mungkin menerbitkan idea dan desakan bagi membuka jalan baharu ke arah rekayasa serta reformasi UMNO untuk mengukuhkan kedudukannya kembali sebagai parti utama orang Melayu.
Add Comment