HULU SELANGOR: Pengusaha Father Organic Farm yang menjadi lokasi tragedi tanah runtuh yang telah meragut 16 nyawa setakat ini disahkan tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan tapak perkhemahan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang turun padang meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut, hari ini.
“Mengikut laporan yang saya terima, tapak perkhemahan ini sebenarnya diusahakan tanpa lesen. Ia tidak memperolehi lesen kebenaran untuk beroperasi sebagai campsite. Tidak ada lesen diberikan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor.
“Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta 133 iaitu Akta Parit dan Bangunan. Sekiranya sabit kesalahan dia boleh dipenjara tiga tahun ataupun denda tidak lebih RM50,000,” katanya.
Bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang terutamanya di saat negara akan mengharungi Angin Monsun Timur Laut yang dijangka bermula esok, Nga berkata arahan telah dikeluarkan kepada PBT di seluruh negara supaya menutup semua kawasan tapak perkhemahan berisiko tinggi selama tujuh hari dengan serta-merta.
“Arahan telah dikeluarkan pagi tadi dengan segera supaya semua campsite di tepi sungai, air terjun dan juga lereng bukit yang mungkin merbahaya akan dikosongkan segera selama tujuh hari sehingga kerajaan memberikan arahan baru.
“Kita akan memantau keadaan cuaca dan kita akan bekerjasama dengan Met Malaysia untuk mendapatkan ramalan cuaca dengan tepat,” katanya.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali setakat tengahari ini seramai 628 anggota penyelamat dari 16 agensi terlibat dengan operasi SAR tersebut.
Armizan berkata, fokus utama operasi ketika ini adalah untuk mengeluarkan dan menyelamat 17 lagi mangsa-mangsa yang tertimbus.
“Pada masa yang sama anggota kesihatan kita juga telah memulakan operasi bantuan kepada mangsa-mangsa yang tercedera.
“Selepas ini kita juga akan melihat kepada bantuan kebajikan kepada mangsa-mangsa kematian. Bantuan-bantuan akan diuruskan oleh NADMA berserta dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah,” katanya.
— BERNAMA
Add Comment