Home » E-Masjid, E-Kariah perlu direalisasikan – Arifin
Berita Tempatan

E-Masjid, E-Kariah perlu direalisasikan – Arifin

Arifin (tengah) diiringi Fairuz menyampaikan replika cek kepada Imran (kanan).

KOTA KINABALU: Pewujudan e-masjid, e-kariah dan seumpamanya perlu direalisasikan seiring inovasi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, imej dan integriti masjid dapat dilonjakkan ke tahap yang tertinggi sekaligus menggalakkan anjakan paradigma ahli-ahli jawatankuasa (AJK) masjid, jemaah, ahli kariah dan sebagainya.

“Rata-rata AJK masjid hari ini terdiri daripada golongan muda dan berpelajaran, maka pelaksanaan digitalisasi perlu dimanfaatkan dan seterusnya diperkasakan.

“Institusi masjid atau surau wajar memiliki laman web, blog dan portal masing-masing agar jemaah, ahli kariah dan siapa sahaja mudah menghubungi pihak pengurusan atau pentadbiran masjid.

“Diharap usaha ini dapat memantapkan lagi institusi masjid di seluruh negeri Sabah agar menjadi masjid akan lebih dikenali, dikunjungi serta dimeriahkan dengan pelbagai program kemasyarakatan, ekonomi, ibadah dan lain-lain lagi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Masjid dan Surau Kariah Cemerlang, Anugerah Tokoh Imam serta Anugerah Kaunter Perkhidmatan Jheains Peringkat Negeri Sabah 2022, pada Rabu.

Tambah Ariffin, melihat kepada potensi besar yang ada pada masjid pada masa kini  persepsi kuno masjid sebagai tempat ibadah ritual sahaja sudah tidak relevan.


“Masjid adalah simbol dan penanda aras kejayaan, kehebatan dan keunggulan umat Islam jadi, institusi ini perlu dibangunkan sejajar dengan perkembangan semasa dan ditingkatkan pada tahap yang selayaknya. 


“Kekuatan umat Islam adalah bergantung kepada bagaimana fungsi masjid dapat disampaikan dengan jelas agar ia dapat menyemai perasaan dan pemahaman tentang pentingnya masjid sebagai tonggak utama Islam. 


“Oleh yang demikian, semua pihak perlulah berganding bahu, tenaga dan kepakaran untuk merealisasikan masjid sebagai satu hub maklumat, ekonomi dan sosial umat Islam,” jelas beliau. 


Pada majlis tersebut, Ariffin menyampaikan Anugerah Tokoh Imam Peringkat Negeri Sabah kepada Pegawai Agama Istana Negeri, Imam Imran Anggun serta Anugerah Imam Cemerlang kepada 32 penerima.  

Turut disampaikan, Anugerah Surau Mesra Musafir (Surau Kampung Taviu, Telupid), Anugerah Masjid Mesra Musafir (Masjid Puncak Taqwa Kinarut, Papar) dan Anugerah Khas Penanda Aras 2022 (Masjid Bandaraya Kota Kinabalu), Anugerah Kaunter JHEAINS Daerah Terbaik 2022 (JHEAINS Tawau), Anugerah Surau Cemerlang Kategori Kebersihan Ruang Wuduk dan Tandas 2022 (Surau Nur Islam Kg Darat Menumbok) dan Anugerah Masjid Cemerlang Kategori Kebersihan Ruang Wuduk dan Tandas 2022 (Masjid Imam Haji Awang Hashim Pekan Sipitang).


Hadir sama, Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin, Pembantu Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

wartaoriental