Home » Tanah runtuh Batang Kali: Suasana pilu selubungi bilik mayat Hospital Sungai Buloh
Berita Am Berita Dalam Negara

Tanah runtuh Batang Kali: Suasana pilu selubungi bilik mayat Hospital Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini, tengah hari ini yang menempatkan mayat 21 mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

Cuaca mendung sejak pagi tadi seolah-olah turut sama meratapi pemergian kesemua mereka.

Difahamkan sembilan anggota keluarga dan waris mangsa sudah berada di hospital sejak pukul 9 pagi dan pengecaman mayat sudah dilakukan.

Sehingga pukul 1.30 tengah hari, proses bedah siasat masih dijalankan.

Menurut sumber, keadaan mayat sempurna namun diselaputi lumpur dan ada kesan luka berkemungkinan kesan dihempap pokok atau batu ketika kejadian.

Daripada 21 mayat yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh, lima adalah kanak-kanak, 12 wanita dan empat lelaki.

Identiti mangsa setakat ini masih belum diumumkan secara rasmi.

Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.

-astroawani