Home » Perjanjian untuk kestabilan, cukup-cukuplah berpolitik, Pemuda Umno jawab pengkritik kerjasama
Berita Dalam Negara Politik

Perjanjian untuk kestabilan, cukup-cukuplah berpolitik, Pemuda Umno jawab pengkritik kerjasama

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk memastikan kestabilan.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menyeru pengkritik Perjanjian Persefahaman Kerjasama menerima hasrat lima gabungan politik utama menghentikan ‘jual beli’ wakil rakyat dan memastikan kestabilan.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan ia untuk memastikan tiada lagi ‘skema’ dalam kalangan Ahli Parlimen yang menyebabkan pentadbiran lepas bertukar ganti berkali-kali, dan agar setiap pihak dalam kerajaan perpaduan menghormati dasar dan orientasi masing-masing, serta tidak menyentuh hal-hal sensitif yang boleh merosakkan keharmonian dan persepakatan.


“Justeru, cukup-cukuplah berpolitik dan berpolemik,” katanya di Facebook.


“Fokus ke hadapan untuk sama-sama majukan negara dan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat. Lima tahun lagi kembali bertarung di medan pilihan raya umum.”


Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, berkata pemeteraian Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara gabungan dan parti politik menjelang usul undi percaya pada Isnin memperlihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim “tak berapa yakin” dengan sokongan ahli Dewan Rakyat kepadanya.


Katanya, Ahli Parlimen ada hak dan kebebasan untuk menyokong atau tidak menyokong, dan usul undi percaya seharusnya dilakukan atas dasar kebebasan dan bukannya memaksa.


Lima gabungan politik utama iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan, yang membentuk kerajaan perpaduan menandatangani perjanjian itu semalam bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi.


Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.

EDITOR