Home » Pemuda GRS Lahad Datu minta pihak berkaitan tangani isu sampah, anjing liar
Berita Tempatan Politik

Pemuda GRS Lahad Datu minta pihak berkaitan tangani isu sampah, anjing liar

TERBIAR: Beginilah keadaan sampah sarap yang terbiar sekian lama di Kawasan Perindustrian Kecil Layung, Lahad Datu yang mengundang kedatangan binatang liar di kawasan tersebut.

LAHAD DATU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Lahad Datu menzahirkan kebimbangan berkaitan isu sampah dan anjing liar yang berlaku di daerah ini.


Ketua Pemuda GRS Lahad Datu Mohd Ar Razee Abdulham berkata peningkatan jumlah anjing liar di daerah tersebut amat membimbangkan dan dikhuatiri akan memberi ancaman terhadap keselamatan orang awam terutama anak-anak kecil.


“Kita sering mendengar keluhan masyarakat berkaitan isu anjing liar yang terlalu banyak di kawasan perumahan dan kawasan bandar yang mengganggu ketenteraman orang awam. Keselamatan anak-anak kita sangat merunsingkan kerana sering kali dikejar oleh anjing liar ini.


“Kami Pemuda GRS telah lama menyatakan kebimbangan kami kepada pihak Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) untuk segera menangani isu ini. Selain itu juga kami turut memaklumkan kepada MDLD bahawa kami sedia menjadi sukarelawan untuk sama-sama membantu mengurangkan peningkatan populasi haiwan terbiar ini.


“Ekoran peningkatan jumlah anjing liar, perkara ini telah menjejaskan kebersihan di kawasan perumahan dan bandar Lahad Datu kerana apabila sampah sarap tidak dikutip sampai berhari-hari lamanya oleh pihak konsesi, anjing liar yang berkeliaran membongkar sampah berkenaan untuk mencari makanan, ” katanya.


Justeru Ar Razee berharap pihak berkaitan dapat menangani isu tersebut dengan segera dengan memastikan sampah dikutip mengikut jadual kerana situasi itu telah menimbulkan pelbagai masalah serta membawa ancaman kepada masyarakat setempat.


Katanya lagi, masyarakat setempat amat kecewa dengan situasi tersebut kerana pihak konsesi dilihat tidak melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan kerap mengikut jadual sehingga berlaku longgokan sampah sehingga menarik perhatian binatang liar.


“Tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan isu ini dan kami memohon agar ada campur tangan daripada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi menyelesaikan masalah yang sudah cukup lama membelenggu masyarakat di daerah ini, ” katanya.


Tambah Ar Razee, perkara itu perlu ditangani dengan segera bagi memastikan rakyat tidak mendapat persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan ekoran isu tersebut, sedangkan ianya boleh diselesaikan dengan mudah oleh majlis daerah.

Kenneddy Corlleus