Home » USIA kaji semula perjanjian yang merugikan
Berita Tempatan

USIA kaji semula perjanjian yang merugikan

DIRAIKAN: Sapawi (tengah) bersama sebahagian yang menerima sijil penghargaan diraikan pada majlis memotong pulut kuning sempena perasmian mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengkaji semula perjanjian-perjanjian yang dimeterai terdahulu yang  merugikan, khususnya yang melibat pembangunan aset dan hartanah pertubuhan itu.


Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad, mengambil satu contoh klasik, tanah Unit Pengurusan Hutan (FMU) seluas 10,000 ekar milik USIA yang telah dibuat perjanjian dengan  sebuah syarikat perladangan agensi kerajaan sejak 18 tahun lalu.


“Dalam tempoh berkenaan, USIA langsung tidak mendapat sebarang hasil.  Perjanjian seperti inilah yang sedang diperhalusi dan dikaji supaya USIA tidak terus menerus menanggung kerugian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA ke-36 Tahun 2021 di sini semalam.


Sapawi berkata langkah itu adalah sebahagian usaha kepimpinan baharu USIA mengembalikan kegemilangan pertubuhan itu, seiring Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024.


Katanya, penjanaan pendapatan USIA akan diusahakan dengan memanfaatkan sumber sedia ada dan mempelbagaikan pendekatan yang berdaya maju.


Sehubungan itu, beliau memaklumkan bangunan lama USIA di Sembulan akan dibaik pulih dan usaha mendapatkan peruntukan sedang diikhtiarkan di mana kerajaan negeri sedia memberi bantuan.


Katanya, selain menempatkan pejabat pentadbiran USIA, sebahagian ruang kosong di bangunan berkenaan akan disewakan bagi menjana pendapatan.


Sapawi juga berkata pihaknya akan mewujudkan One Stop Centre USIA sebagai pusat informasi, latihan, kebajikan dan aktiviti sosio-ekonomi ahli-ahli USIA bersama dengan komuniti setempat. 


Setakat ini dua lokasi One Stop Centre telah dikenal pasti iaitu di Keningau dan Sipitang.


“Pembinaan Pusat seperti ini juga bertujuan untuk mengerakkan kegiatan saudara kita.  Pusat seumpama ini hanya akan diwujudkan di bahagian USIA yang memiliki tanah yang diwakafkan,” katanya.


Hadir sama pada majlis itu Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan dan Datuk Haji Alipudin P.Puyon, Setiausaha Agung Iman Ali, Ketua Penerangan Datuk Abdullah Hussin dan Ketua Belia USIA, Jamawi Haji Jaafar.

EDITOR