Home » Ahli Majlis Tertinggi GRS putuskan Hajiji kekal Pengerusi, gugurkan keanggotaan Bersatu
Berita Tempatan Politik

Ahli Majlis Tertinggi GRS putuskan Hajiji kekal Pengerusi, gugurkan keanggotaan Bersatu

Ongkili (gambar) berkata, Ronald dan Bersatu tidak ada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh parti beliau. – Gambar fail

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara memutuskan Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Pengerusi gabungan itu.

Malah Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili menegaskan, gabungan itu memutuskan menggugurkan keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ahli Badan GRS.

“Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ronald Kiandee pada 17 Dis 2022, saya selaku Timbalan Pengerusi GRS telah mempengerusikan satu Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS pada 9 Dis 2022.

“Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk mengekalkan Hajiji sebagai Pengerusi GRS dan menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai Ahli Badan Gabungan dalam GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) memaklumkan, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS turut memutuskan gabungan itu menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air.

Sehubungan itu, katanya, Ronald dan Bersatu tidak ada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh parti beliau.

BERITA LANJUT MENYUSUL

–Abdul Hafiz Mustadi